Pengusaha taska, tadika harus utama keselamatan
KUCHING: Meskipun belum ada insiden melibatkan keselamatan kanak-kanak disebabkan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan di Sarawak, langkah pencegahan awal tidak harus dipandang ringan.
Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Fatimah Abdullah berkata, pengusaha taska dan tadika di negeri ini sebaliknya harus mempelajari insiden yang berlaku di negeri lain.
Katanya bagi kerajaan negeri, usaha memastikan keselamatan kanak-kanak di taska atau tadika sememangnya telah ditekankan malahan sejak peringkat pendaftaran premis.
“Walaupun kita tidak mendengar insiden sebegini di Sarawak saya berharap pengusaha taska atau tadika kita tidak leka atau ambil mudah mengenai apa yang berlaku di tempat lain.
“Kita wajib mengambil pencegahan awal bagi memastikan keselamatan kanak-kanak dijamin di mana kita mahu pengusaha atau guru tadika kita bukan sahaja dilengkapi dengan pengetahuan atau kemahiran akademik tetapi boleh menghadapi sebarang kecemasan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan daripada TM TEC Academy Sdn Bhd yang dihadiri Pengurus Besarnya Richard Song di pejabatnya di sini, semalam.
Tambah Fatimah, salah satu daripadanya adalah dengan mendaftarkan tadika atau taska kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di mana pengusaha akan mendapat sijil perakuan daripada beberapa agensi berkaitan.
“Mereka sebolehnya mendaftarkan taksa atau tadika kerana ia sekurang-kurangnya memberi jaminan kepada keselamatan kanak-kanak dengan mematuhi SOP ditetapkan agensi berkaitan.
“Di bawah JKM, operator perlu mematuhi beberapa perkara termasuk perlu menghadiri kursus akademik dan latihan keselamatan,” katanya.
Pada masa yang sama beliau menegaskan, ibu bapa turut memainkan peranan penting untuk menghantar anak-anak ke tadika atau taska pilihan mereka.
Katanya jangan hanya memilih kesenangan atau berdekatan rumah untuk menghantar anak tetapi mereka perlu memikirkan sama ada pengusaha taska berkaitan mempunyai lesen atau sebaliknya.
“Kita juga menyeru kepada orang ramai yang mempunyai maklumat tentang tadika atau taska yang beroperasi tanpa surat perakuan, agar melaporkan kepada kami.
“Di mana unit penguatkuasaan JKM akan turun padang bagi meneliti perkara ini. Bagi kesalahan pertama pengusaha yang beroperasi tanpa lesen boleh didenda RM5,000,” ujarnya sambil memberitahu, di Sarawak setakat ini belum ada aduan berkaitan.
Fatimah berkata di bawah sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI) Majlis Pembangunan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, sebanyak 20 taska baharu akan didaftar pada tahun ini.
Katanya bermula pada tahun ini pendaftaran taska atau tadika akan lebih tegas bagi memastikan isu keselamatan kanak-kanak terjamin.